Mohamed Salah hatrik dalam masa enam minit selepas dimasukkan ketika Liverpool membantai Rangers di hadapan penyokong mereka sendiri pada aksi UCL.

Penyerang itu menjaringkan tiga gol dalam 13 minit pertamanya yang sensasi di atas padang untuk mendiamkan penyokong di Ibrox yang sebenarnya bermula dengan sangat meriah.

Ini kerana, Scott Arfield telah memberikan Rangers pendahuluan awal dengan gol pertama mereka dalam saingan UCL musim ini.

Tetapi, dua gol Roberto Firmino dan satu gol Darwin Nunez membuatkan Liverpool mara, dengan Harvey Elliott turut menjaringkan gol ketujuh selepas pemeriksaan VAR.

Ia adalah persembahan separuh masa kedua yang memukau daripada kelab Liga Perdana itu, yang kini hanya memerlukan keputusan seri menentang Ajax di Amsterdam dalam masa dua minggu untuk mara ke peringkat seterusnya.

Rangers yang kembali semula ke UCL setelah sekian lama, masih mencari mata pertama mereka, dan harapan mereka beralih kepada cubaan untuk menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A dan menuntut tempat Liga Europa.

Ia bukan tugas mudah. Kerana mereka perlu bertandang untuk menentang pasukan pendahulu kumpulan iaitu Napoli.

Ketika Salah berlari masuk ke padang Ibrox, Liverpool sudah berada dalam mood yang sangat baik . Nunez baru sahaja memberikan pendahuluan 3-1 kepada pelawat.

Kemasukan pemain Mesir itu memberikan mimpi ngeri kepada Rangers. Salah hatrik dalam masa enam minit, jarak antara gol pertama dan ketiga beliau.

Ia bermula dengan gol dari sudut yang sukar.

Beberapa minit kemudian, Salah memperdaya pertahanan dan penjaga gol sekali lagi.

Hampir tidak ada masa untuk menaip namanya sebagai pemain terbaik perlawanan, Salah terus mencetak gol ketiganya pada malam itu pada minit ke-81. Hanya seminit selepas gol kedua peribadinya.

Harvey Elliot memastikan Liverpool menang bergaya 7-1 di tempat lawan.

Kemenangan ini pastinya sangat penting untuk Liverpool selepas kalah di Emirates sebelum ini. Hal ini kerana mereka akan bertemu dengan Manchester City dalam aksi blockbuster di EPL pada Ahad ini.

Liverpool berharap kemenangan ini akan menjadi titik tolak kepada perubahan kempen mereka yang penuh dengan kesulitan pada awal musim ini.